Thursday, June 16, 2011

Teks: Rakan Sebaya - Kawan atau Lawan

 
Apa yang anda faham dan tahu mengenai Rakan Sebaya?

Definisi Rakan Sebaya menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 ialah sahabat yang sama umurnya. Rakan Sebaya juga ialah sahabat daripada lingkungan latar belakang yang sama dan suka bersama dalam pelbagai aktiviti dan matlamat atau dalam kata lain mempunyai minat yang sama.

Persoalannya, apakah kepentingan Rakan Sebaya dalam kehidupan kita? Adakah Kawan atau pun Lawan?

Rakan Sebaya boleh memberi pengaruh yang positif atau kebaikan antara satu sama lain dan kadang kala boleh mempengaruhi dalam bentuk yang negatif atau kejahatan. Rakan Sebaya yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang baik akan terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang lebih memberi kesan positif kepada rakan-rakan yang lain seperti terlibat dalam aktiviti kokurikulum & aktiviti meningkatkan kemahiran diri manakala rakan sebaya daripada kalangan pelajar-pelajar yang bermasalah  akan memberi kesan yang sama kepada rakan-rakan yang lain.

Ini kerana rakan sebaya yang negatif mempengaruhi rakan sebaya
yang lain untuk bertingkah laku bertentangan dengan tuntutan agama dan norma-norma masyarakat. Nilai-nilai murni yang ditanam di kalangan pelajar sejak kanak-kanak lagi mungkin tidak mempunyai kesan yang banyak terhadap pengaruh tingkah laku sekiranya pelajar berkenaan tidak berupaya menolak pengaruh rakan sebaya. Keupayaan untuk menolak pengaruh rakan sebaya adalah satu kemahiran penting yang perlu diperolehi oleh remaja agar remaja berkenaan boleh berperilaku sejajar dengan nilai yang dianutinya.

Rakan Sebaya bukan sahaja mempengaruhi seseorang individu secara negatif melalui pujukan dan paksaan tetapi juga secara positif dengan menberi khidmat, sokongan dan peluang untuk membincangkan pandangan-pandangan yang bertentangan. Pengaruh kuat Rakan Sebaya boleh digunakan seacara konstruktif untuk membentuk tingkah laku yang positif di kalangan mereka.

Untuk pengetahuan kita semua, Rakan Sebaya juga adalah orang-orang yang paling hebat dalam membantu kita mencapai kejayaan akademik. Satu sebab utamanya ialah mereka ini mempunyai tahap pemikiran yang sama dengan kita. Jadi, jika mereka faham sesuatu, mereka boleh terangkan kepada kita dengan lebih mudah. Rakan Sebaya juga boleh menjadi sumber rujukan dan sistem sokongan kepada kita. Namun, kita perlu berhati-hati. Tidak semua rakan sebaya boleh membantu kita kerana ada yang akan cuba menarik kita ke arah kegagalan walaupun bukan itu niat mereka. Mereka juga turut menyumbang kepada berlakunya masalah gejala sosial terutamanya kepada pelajar-pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan mengalami masalah keluarga. Ini adalah fakta. Pengaruh Rakan Sebaya memang antara sebab utama yang boleh membuatkan pelajar bukan saja bersikap kurang ajar, nakal dan jahat tetapi juga berpotensi untuk ponteng sekolah yang mana pelajar akan mengalami masalah kemerosotan disiplin. 

NASIHAT SAYA, dekati rakan-rakan yang berfikiran positif, rajin dan bersemangat tinggi untuk berjaya. Dalam masa yang sama, kurangkan masa yang kita luangkan dengan pelajar-pelajar yang malas, bermasalah disiplin dan suka merungut. Gabungan tindakan kita ini akan menaikkan semangat kita untuk belajar dengan lebih baik.

Selain itu, Rakan Sebaya adalah antara agen sosial yang berpengaruh di dalam membentuk sikap dan akhlak individu kerana mereka merupakan kelompok rujukan bagi remaja di dalam tingkah laku mereka. Remaja akan mengubahsuai dan mengadaptasikan nilai-nilai Rakan Sebayanya untuk mendapat penerimaan dan pengakuran daripada kumpulan Rakan Sebaya yang mereka ikuti kerana Rakan Sebaya dapat mencorak personaliti individu tertentu. Pakar Psikologi Barat, Carl Rogers menyatakan ada beberapa perubahan ketara kepada seorang remaja antaranya perubahan fizikal, emosi dan pemikiran. Perubahan emosi dan fikiran akan mendorong remaja memperluas dan memperbesarkan kuantiti dan jaringan rakan sosialnya. Mereka lebih rela menceritakan dan mencurahkan segala masalah dan perasaan mereka kepada rakan Sebaya berbanding ibu bapa, guru atau orang dewasa yang lain. Hal ini demikian kerana Rakan Sebaya dianggap lebih memahami sikap dan perasaan mereka dan dalam masa yang sama mereka ingin membuktikan mereka boleh berdikari dan berkemampuan seperti orang dewasa.

Oleh itu. Pendekatan logikal ialah menggunakan remaja utk mempengaruhi remaja lain. Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dapat memenuhi hasrat ini dengan sayart mereka dilatih dan diselia dengan teratur. Oleh itu, disarankan supaya pemilihan dan perkembangan latihan ahli-ahli PRS hendaklah dipantau bersama  kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan juga ibu bapa. Pada Perhimpunan Belia 2011 di Kuching Sarawak, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyatakan bahawa kemahiran dalam bidang bimbingan dan kaunseling sangat penting bagi mengatasi pengaruh negatif Rakan Sebaya agar tidak terlibat dalam aktiviti anti-sosial.

Tuntasnya, Rakan Sebaya memainkan peranan yang penting di dalam menentukan arah kehidupan kita. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati ketika memilih Rakan Sebaya. Bukan semua Rakan Sebaya patut dijadikan kawan kerana akan ada yang mempengaruhi ke arah kebaikan dan akan ada yang mempengaruhi ke arah kejahatan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah seseorang kamu memperhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan.” Samada berperanan sebagai seorang kawan atau pun berperanan sebagai seorang lawan, pilihlah rakan dengan bijak. Kesilapan memilih Rakan Sebaya pasti akan mengakibatkan keruntuhan akhlak, gejala sosial yang berleluasa dan kemerosotan disiplin. INGATLAH, rakan ketawa mudah dicari, rakan menangis sukar dicari...

 

6 comments:

  1. sangat baik untuk dikongsi.. <3

    ReplyDelete
  2. thnks ... karangan yg bgus .. boleh diguna :)

    ReplyDelete
  3. thanks . Ia membantu saya dalam membuat karangan . Tapi , jangan salah faham . Saya bukan mcopy paste . Saya hanya mncari point2 sahaja ;)

    ReplyDelete

PART 2 - Kisah SADIS lagi TRAGIS Nak ke PAK BARA Tak Kesampaian

PART 2 . . Masa lalu nak lepas border tu, punya panjang giler orang beratur nak cop border. Miza drop mak siap-siap utk que kat situ. ...