Kehidupan kita pada hari ini adalah rentetan daripada sejarah kehidupan yang lalu. Maka kehidupan pada hari akan datang adalah bergantung kepada sejarah yang telah & akan kita cipta pada hari ini. Sejarah yang telah & akan terbina itu adalah bergantung kepada kita.
Siapakah kita? Kita ialah belia yang merupakan kelompok masyarakat yang sangat penting kerana belia adalah pencorak generasi akan datang. Keadaan generasi akan datang bergantung pada keadaan dan pembinaan belia hari ini. Jika keadaan belia hari ini baik dan pembinaannya sempurna, maka besar kemungkinan generasi di masa akan datang juga akan menjadi baik dan begitulah sebaliknya. Bahkan, sejarah menunjukkan bahawa belia bukan sahaja bermanfaat di hari muka tetapi juga berpotensi untuk memainkan peranan yang penting semasa umur belia dan muda.
Ramai di antara kita beruntung kerana diberi nikmat pendidikan yang lebih tinggi dan nikmat harta yang melimpah ruah. Tetapi, Masih tidak terlambat untuk kita membina satu wawasan dan berusaha keras bagi mencipta sejarah yang tersendiri dan meninggalkan sesuatu bagi generasi pada hari ini. Sesuatu yang bukan hanya dilihat sebagai legacy. Namun, kita tidak akan dapat mencipta sejarah dan meninggalkan legacy, sekiranya
1. Berjiwa kecil…. tiada keyakinan pada diri sendiri, tidak mampu mengurus diri sendiri, tiada semangat 'yakin boleh', tidak berani mencuba….
2. Berakal kecil…. sibuk dengan perkara remeh, sibuk dengan masalah dari melihat peluang, tidak mampu mengekalkan idealisme yang wajar, tiada wawasan dalam hidup, pesimis …..
3. Beramal kecil….. tiada kesungguhan dalam perjuangan, mudah putus asa, lokek dalam pengorbanan, berpuas hati dengan apa yang ada, mediocre dalam semua perkara…..
Kita tidak bernostalgia dengan pencapaian generasi yang lalu, kecuali sebagai dorongan untuk kita berlumba mencipta sesuatu bagi generasi hari ini dan akan datang agar kita terus dikenang
Selagi kita masih hidup, sejarah generasi ini berada dalam diri kita dan di tangan kita.
Ini bermaksud nasib sesuatu bangsa akan bergantung pada apakah bentuk wawasan yang ada di minda belia mereka. Pencapaian wawasan berkenaan pula bergantung pada usaha keras mereka.
Oleh itu, adalah penting untuk para belia mempunyai wawasan. Wawasan ini haruslah sebuah wawasan yang besar bagi dirinya dan masyarakatnya. Belia yang tidak mempunyai wawasan ialah belia yang potensinya akan terbazir. Belia sedemikian akan terumbang-ambing hidupnya tanpa tujuan dan perancangan. Dalam banyak keadaan belia seperti ini hanya akan memenuhkan hidupnya dengan hiburan dan permainan semata-mata kerana dipengaruhi oleh hedonism Barat. Kegagalan akan bersama belia seperti ini sebagaimana ungkapan kata berikut: “One who fails to plan, plans to fail”
Masyarakat yang mempunyai belia seperti ini ialah masyarakat yang pasti akan menuju pada kehancuran. Sedangkan belia yang hanya berwawasan bagi manfaat dirinya dan hidupnya hanya dipenuhi dengan sesuatu bagi memenuhi keinginan peribadi semata-mata ialah belia yang mementingkan dirinya sendiri.
Maka jadilah belia yang berwawasan. Namun wawasan sahaja tidak mencukupi. Wawasan berkenaan haruslah didokong oleh keperibadian yang baik. Hanya belia yang berperibadi yang sesuai sahaja akan benar-benar mampu menjayakan wawasan yang di dokong oleh ciri-ciri tambahan berikut:
- Komited pada usaha untuk membangun masyarakat
- Mampu untuk bekerja secara kolektif dan berorganisasi
- Sedia memimpin
- Kompeten dengan keperluan semasa
- Berminda luas dan berfikiran global dan universal
Maka Jadilah Belia Yang Mencipta Sejarah. Belia yang bukan hanya bernostalgia dengan kegemilangan datuk neneknya atau sejarah masa lalu tetapi belia yang ‘berbangga’ dengan sumbangannya yang bermakna dan mencipta/membina sejarah tersendiri.
Dari Mata Pena Ku;
No comments:
Post a Comment